Sunday, May 20, 2012

Sahabat kanak-kanak Rasulullah...



Pertama kali melihat tajuk buku ini, saya sangat teruja dan tertarik untuk memilikinya. Sekarang, dah siap sampul lagi. Sebenarnya, bagaimana kita boleh tertarik dengan sesuatu adalah disebabkan faktor perjalanan kehidupan kita. Seperti saya, saya amat tertarik dengan bacaan ini kerana saya sedang berhadapan dengan kanak kanak yang sedang membesar menjadi remaja di sekolah. Saya juga ada membeli buku ‘cinta high class’, tetapi saya belum mampu  untuk menghabiskannya mungkin kerana saya bukan dalam kalangan mereka yang sedang bercinta, berkahwin dan sebagainya.

Ok, berbalik kepada tajuk buku ini, sahabat kanak-kanak Rasulullah. Saya kira, buku ini sangat -menarik untuk dibaca oleh semua golongan pembaca. Buku ini mengisahkan :
 
-Bagaimana Rasulullah S.a.w hidup dan bergaul dengan kanak-kanak?
-Bagaimana beliau menerima mereka dikala menghampiri Rasulullah?
-Bagaimana baginda bergurau dengan mereka?
-Bagaimana Nabi mengasuh anak-anak tirinya, putera dan puteri ibunda kaum mukmin?
-Bagaimana baginda mencurahkan kasih dan mendidik putera puteri sahabat
-Bagaimana baginda membimbing mereka yang mulai meningkat dewasa?
 
Kebanyakan tokoh-tokoh hebat seperti Anas ibn malik, Abdullah ibn Zubair, Hasan al- Basri, zaid ibn Tsabit dan sebagainya kesemuanya bersama-sama Rasulullah semasa zaman kecil mereka. Mereka dilayan dengan baik oleh Baginda sehinggakan terbentuk  pemuda yang hebat apabila dewasanya. Bila direnung pula dengan cara kita melayan adik, anak saudara, kanak-kanak terdekat kita, adakah selembut Rasulullah? Tentu sekali tidak bukan.

Dalam membimbing kanak kanak, Rasulullah adalah contoh terbaik. Dalam satu kisah menceritakan berkenaan dengan kisah Anas dimana suatu ketika, Nabi menyuruh Anas untuk suatu keperluan. Ditengah jalan, Anas melihat anak anak sedang bermain. Dia pun menyertai mereka sehinga melupakan perintah Nabi. Sedang asyik bermain, tiba-tiba Rasulullah memegang bahunya. Lalu sambil tersenyum, baginda berkata, “Hei Unais, kerjakanlah perintahku”. Kasih sayang dan kelembutan Rasulullah itu bukan hanya kepada Anas, tetapi juga kepada seluruh pelayan dan para bekas hamba sahaya baginda. Anas berkata, “lima belas tahun melayani Nabi, belum pernah sekalipun Baginda membentak, baik di dalam rumah mahupun di luar rumah. Walau apa pun yang kulakukan, baginda tidak pernah mengatakan ,”kenapa hasil kerjamu seperti ini?! Atau “buruk sekali hasil kerjamu!” atau jika aku tidak dapat melakukannya, baginda tidak pernah mengatakan , ‘kenapa tidak kau buat seperti ini?!’ Baginda sama sekali tidak pernah mencelaku, termasuk jika aku lambat melaksanakan perintah. Jika ada salah seorang keluarganya mencelaku, Baginda akan mengatakan, ‘jangan hiraukan. Jika memang ditakdirkan kau dapat melakukannya, kau pasti dapat”.
Ini adalah antara picisan kisah-kisah di dalam buku ini. ada banyak lagi kisah kisah Rasulullah bersama kanak kanak sehinggalah waktu wafatnya baginda. Saya kira, amat menarik juga untuk anda baca buku ini. Jika dibandingkan dengan zaman kini, sangat jauh bezanya dari sudut didikan dan layanan terhadap anak anak. 

Baginda s.a.w. sendiri menegaskan bahwa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang ada pada diri manusia, “Hanyalah aku diutus (oleh Allah) untuk menyempurnakan akhlak.” (HR.Ahmad, lihat Ash Shahihah oleh Asy Syaikh al Bani no.45)

 Buku ini mengisahkan cerita unik masa kanak-kanak yang lurus dan jernih dalam rangkaian sejarah agung kenabian. Dengan menggambarkan kehidupan Nabi bersama anak anak, buku ini menggambarkan bagaimana ibu bapa ( emm,,bukan ibu  bapa sahaja, kita semua) mesti bergaul dan memperlakukan anak anak supaya nanti mereka menjadi peribadi peribadi soleh dan cemerlang di dalam masyarakat.

Akhir kalam, Saya tertarik untuk berkongsi bait kata kata yang diambil dari blog iluvislam:

Kasih sayang tidak memadai
Doa tidak mencukupi
Ilmu keibu-bapaan tidak datang dengan sendiri
Timbalah ia bersungguh-sungguh seikhlas hati
Agar anak menjadi insan yang hebat dan pandai berdikari

Oleh itu, carilah ilmu agar anda mudah memahami..