Saturday, February 23, 2013

Boleh atau Boleh, InsyaAllah?..



A: Jemput datang ke majlis kami ahad ni ye.
B: owh, tahniah..ok, bereh2..

Atau

A: Jemput datang ke majlis kami ahad ni ye.
B: Alhamdulillah, tahniah..insyaAllah, saya pasti hadir..

Yang mana satu cara percakapan yang kita biasa? ayat berbentuk janji yang kita yakin dapat laksanakan atau ayat yang beserta 'insyaAllah iaitu dengan izin Allah, kita boleh lakukan. Cara percakapan begini menggambarkan kerendahan hati kita kepada Allah. Ini adalah kerana kita selaku insan yang lemah, tanpa kudrat dariNya, manakan kita mampu bergerak, berjalan, merancang dan berjaya. Manalah tahu, semasa dalam perjalanan, ada musibah yang menyebabkan kita tidak mampu untuk sampai. Semua itu di dalam kuasa Allah. Manusia merancang, tetapi Allah sebaik2 perancang.

Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 23-24:

"Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi (23) kecuali (dengan menyebut): "Insya Allah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: "Mudah mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini" (24).

 Menurut riwayat ayat ini diturunkan sebagai pelajaran kepada Nabi Besar Muhammad s.a.w. Hal ini berlaku ketika mana ada beberapa golongan Quraisy yang datang berjumpa baginda ingin bertanyakan hal berkaitan roh, kisah Ashhabul Kahfi, dan Zulkarnain. Baginda menjawab kepada mereka datanglah esok pagi agar baginda boleh menceritakannya.Walaubagaimanapun, wahyu terlambat turun pada esoknya menyebabkan baginda tidak dapat menceritakannya dan menjawab pertanyaan yang telah dikemukakan. Oleh itu, ayat-ayat ini diturunkan untuk memperingatkan baginda untuk sentiasa mengucapkan kalimah ini bagi membuat sesuatu pada masa akan datang.

 Terdapat suatu kisah di dalam Al-Quran di dalam surah Al-Qalam yang menerangkan kepentingan kalimah ini. Di dalam surah ini Allah SWT telah menceritakan berkenaan pemilik-pemilik kebun yang telah dimusnahkan kebun mereka oleh Allah SWT. Ini kerana mereka tidak mahu mengeluarkan sedikit hasil kebun mereka untuk orang miskin. Mereka telah bersumpah untuk memetik buah-buahan di kebun-kebun mereka keesokkan harinya tanpa mengucapkan Insya Allah. Tatkala mereka tidur kebun-kebun mereka telah dimusnahkan buah-buahannya oleh Allah SWT. Setelah mereka melihat keesokan harinya kebun-kebun mereka, mereka telah bertaubat dan mengatakan bahawa mereka adalah orang yang tidak dapat menikmati hasil kebun-kebun mereka.

Dari sini dapat dilihat bahawa mereka mempunyai rancangan untuk memetik buah-buahan tetapi tidak menyebut Insya Allah. Oleh itu, Allah SWT telah menggagalkan niat mereka dan telah menyebabkan kerugian kepada mereka. Oleh itu, kita perlu sentiasa menyebut Insya Allah apabila hendak melakukan sesuatu moga-moga Allah SWT memberikan hasil yang kita kehendaki.

Sandarkan Allah dalam setiap perkara, InsyaAllah Allah pasti mudahkan..

Dengan Izin Allah... biiznillah