Sunday, September 13, 2009

EGONYA PEMIMPIN


Manusia dilahirkan dengan sifat semulajadi yang lebih cenderung kepada keburukan. Ego adalah satu sifat yang sinonim dengan manusia zaman sekarang. Menurut Mohd Shukri Hanapi, ego atau sombong adalah sifat mazmumah (keji dan tercela) yang wajib ditinggalkan. Ia bermaksud tidak mahu menerima kebenaran, menganggap diri lebih tinggi dan mulia daripada orang lain. Jika ditanya adakah kita tergolong dalam golongan orang yang ego atau sombong, tentu ramai mengatakan tidak.


Menurutnya lagi, orang yang ego selalu mengiyakan pendapat atau pandangan orang lain apabila berhadapan dengan orang ramai. Di belakang mereka, dia akan mencaci dan menganggap pendapat itu tidak bernas, malah merendahkan personaliti orang berkenaan. Orang sombong juga enggan mengalah walaupun dia bersalah. Dia sanggup bertegang urat asalkan dia menang. Mereka yang sebegini akan berasa puas apabila melihat orang lain diam dan hanya mengiyakan kata-katanya. Dia langsung tidak menghiraukan larangan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, 46)


Dalam memimpin sesuatu organisasi, pemimpin perlulah mengawal sifat ego yang ada dalam diri, pemimpin perlu membuang sifat ego. Jika ego tidak dikawal atau dibuang, maka ia boleh menggugat organisasi tersebut.


Pemimpin yang ego, yang selalu bercanggahan pendapat dengan ahli, yang berkehendak memenangkan pendapatnya sahaja biasanya mengakibatkan perpecahan. Ini menyebabkan ahli hilang rasa hormatnya pada pimpinan seterusnya menghilangkan ketaatan pada pimpinan. Apabila perkara ini berlaku menyebabkan gerak kerja yang dirancang tidak boleh dijalankan secara lancar.


Analogi yang boleh dibuat, umpama pimpinan itu ibu bapa, manakala ahli adalah anak-anaknya. Ibu bapa menggunakan perkataan seperti ‘anak degil’, ‘tidak guna’ dan ‘keras kepala’ menjadi amalan biasa. Natijahnya, tidak hairanlah jika dilihat apabila anak bergaduh sesama mereka, perkataan yang sama akan dilafazkan. (Mohd Shukri Hanapi)


Apabila ahli-ahli sudah muak dengan sikap pimpinan, mereka tidak lagi menghormati pimpinan. Puncanya kerana pemimpin yang ego sehinggakan ahli menganggap kehadiran mereka menyusahkan dan tidak menghormati mereka sebagai ahli.


Allah memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan tidak kasar dalam berbahasa. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh, itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali Imran, 159)


Berdasarkan ayat itu, Allah bukan saja memerintahkan hamba-Nya sentiasa berlembut dalam ucapan, malah mengingatkan bahawa perkataan atau sifat yang kasar hanya menyebabkan ramai orang lari daripada mendekati diri kita. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nisa’, 148).(Mohd Shukri Hanapi)


Seorang pemimpin haruslah pandai bermain psikologi bagi mengawal ahli-ahlinya. Pemimpin juga harus muhabah diri jika ahli-ahlinya mula menjauhkankan diri darinya. Muhabahlah secara positif, cuba mencari kesalahan diri dan jangan asyik mencari kesalahan orang lain. Tingkatkanlah hubungan dengan Allah swt, mohon petunjuk dariNya.


Dialah Allah, yang tidak ada tuhan melainkan dia; yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dialah Allah, yang tidak ada tuhan melainkan dia; yang menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha kuat (menundukkan segala-galanya) ; Yang Melengkapi Segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengannya. Dialah Allah, yang menciptakan sekalian makhluk; yang mengadakan (dari tiada kepada ada); yang membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya) ; bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadanya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah yang tiada bandingnya, lagi Maha Bijaksana.(Surah Al Hasyr, 22-24)


-ibnuahmad-

No comments: