Saturday, June 30, 2012

life is easy but sometimes it is complicated..




Dari melihat alam dan penghuninya kita mampu belajar sesuatu. Manusia bukan statik. Analogi seperti roda terkadang di bawah, terkadang berada di atas. Orang yang muda tidak selamanya muda. Muda juga bukan jaminan untuk hidup lebih lama. Melihat kehidupan kita pun sudah cukup untuk membuatkan kita untuk berfikir. Saya melihat anak saudara yang dahulunya kecil, dan sekarang sudah mula membesar, jiran-jiran sebaya mak dan abah yang dahulunya  banyak melakukan aktiviti bersama sekarang sudah mula ada garis kedut pada wajah mereka. Masing masing mempunyai masalah kesihatan tersendiri. Melihat juga rakan sepermainan saya semasa kecil dahulu kini sudah pun berumahtangga kerana sudah sampai masa mereka.

Inilah kehidupan, dahulunya kita tidak bersedia untuk menghadapi sesuatu akhirnya kita telah pun melaluinya.  Sempat juga saya membelek akhbar berkenaan kampus bertajuk peguam muda. Mereka menyertai sesi perbicaraan. Saya tertanya di dalam diri, bersediakah mereka? Kemudian saya tersedar dan bertanya pada diri, bersediakah aku untuk menjadi guru tidak lama lagi. Mungkin juga kerana saya ragu ragu dengan kemampuan diri. Tetapi, untuk setiap perkara  bersedia ataupun tidak,  kita tetap akan menghadapinya. Baru sahaja selesai Latihan Mengajar setelah 13 minggu. Jika dulu, agak sedikit takut takut, tetapi saya telah pun berjaya  menghadapinya.

Setiap hari, usia bertambah. Jika muda sekarang, beberapa tahun akan datang kita semakin menjangkau usia. Menjadi golongan tua menggantikan ibu bapa kita. Individu di sekeliling kita juga mungkin akan berubah. Jika kini kita bersama ramai teman, akan datang kita melalui hari hari tanpa mereka kerana setiap individu mempunyai impian  sendiri untuk dilakar. Proses belajar, bekerja, berumahtangga, melalui hari2 tua dan akhirnya bertemu yang Esa. Singkat hidup ini sebenarnya. Seolah olah ianya tempat kita bercucuk tanam dan hasilnya akan dikira kelak di alam timbangan.

Ya, akhirnya kita akan kembali kepada yang Esa. .

Allah menjadikan alam dan penghuninya untuk kita berfikir..kerana Allah menciptakannya bukan sia sia..

Di mana saya? Di mana anda?

” Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.” [ Al- Mulk 67: 2]