Nikmatnya menghayati lagu segenggam
tabah pada petang ini bersama coklet whole nuts..lagu ini selalu saya ulang
dengar semasa berada di utmkl dahulu..sangat membawa makna.. Alhamdulillah, dan
sekarang Saya perlu mengambil mood untuk study kerana baru sahaja
tadi selesai paper keusahawanan. Apabila bercerita berkenaan dengan musim
peperiksaan, pelbagai cara yang kita sendiri praktikkan antaranya study
berselang seli dengan FB, membaca blog dan sebagainya. Ini saya kira trend
mahasiswa sekarang untuk mengelakkan mengantuk. Saya masih ingat lagi semasa
menghadapi peperiksaan sijil menengah agama semasa sekolah dulu, antara cara
yang saya gunakan yang mana sehingga sekarang saya tidak boleh lupa adalah
merendam kaki di dalam baldi yang berisi air bersama seorang teman sebilik pada
ketika itu. Ini bagi mengelakkan mengantuk. Maklumlah, dahulu perlu menghafal
bahasa arab dan pastinya cepat mengantuk. Itu merupakan cerita lama
yang membuatkan saya sentiasa tersenyum.
Juga Apabila bercerita
berkenaan dengan peperiksaan, saya berminat untuk kita sama sama berkongsi
berkenaan dengan keberkatan.
Setiap insan sentiasa mengharapkan
keberkatan daripada Allah SWT. Dengan memperolehi ‘barakah’, seseorang itu akan
mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di
akhirat. Seorang petani yang memperoleh berkat dalam mencari rezeki dapat
menyara keluarganya yang ramai, seorang ulama dapat mengarang beratus kitab
walau pun beliau meninggal dunia pada usia muda seperti Imam al-Nawawiy dan
sebekas susu dapat diminum oleh sebilangan orang seperti mana yang diriwayatkan
dalam kitab Sahih al-Bukhari.
Keberkatan bukanlah diukur dengan
kejayaan yang dicapai di dunia semata-mata. Keberkatan ini merangkumi kejayaan
di akhirat iaitu mendapat keredaan Allah. Seorang yang mengingkari perintah
Allah boleh mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan dengan berusaha dengan
gigih dan tekun. Namun dia akan mendapat kemurkaan Allah di akhirat di atas
kefasikannya. Allah memberikan kejayaan kepada sesiapa sahaja yang berusaha
keras di dunia sebagaimana kita melihat ramai pelajar yang bukan beragama Islam
cemerlang dalam pelajaran. Malah lebih cemerlang daripada pelajar muslim. Ini
adalah sunnatullah. Kejayaan yang kita impikan ialah kejayaan di dunia dan di
akhirat. Inilah‘Barakah’ yang dicita-citakan.
Jadi, disini, bagaimana kita
memperoleh keberkatan?
Yang pertama adalah sudah tentulah
dengan menjaga hubungan dengan Allah.
Iaitu dengan sentiasa menjaga waktu solat
di awal waktu. Jangan pernah rasa selesa apabila kita melambat lambatkan
waktu solat semata mata ingin menhabiskan 1 bab bacaan contohnya. Kadang kala
perkara ini kita sering terlepas pandang. Apabila kita mendahulukan perkara
lain selian Allah, maka hilanglah keberkatan di situ. Ini juga termasuk dalam
cara bagaimana kita beradab dengan Allah. Imam al-ghazali ada menyatakan bahawa
:
“orang yang menyahut seruan azan
serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjemaah, di akhirat
kelak dia akan dijemput oleh Allah dengan penuh lemah lembut dan menjadi
tetamuNya”.
Selain daripada itu dengan membaca
Al-Quran beserta makna, solat sunat rawatib, puasa sunat, solat hajat dan juga
berusaha untuk bangun untuk solat tahajud. Jika sebelum ini kita sudah pun
mengamalkan semua amalan ini, di saat musim peperiksaan ini perbanyakkan lagi. Banyakkan
berdoa supaya Allah memudahkan kita untuk study, memberi kita kekuatan untuk
bertahan, memberi kita kemudahan untuk memahami dan mengingati dan mengurniakan
keberkatan masa yang kita telah peruntukkan untuk mengulangkaji. Moga dengan usaha dan kesungguhan yang kita
zahirkan kepada Allah ini mampu membuka jalan kemudahan kepada kita untuk
menempuh hari hari minggu final exam ini. Sesungguhnya tiadalah kekuatan dan
daya melainkan ianya daripada ALLah.
Disamping itu, perlunya untuk menjauhi
perkara haram dan sia-sia. Dosa dan maksiat yang dilakukan akan menghilangkan
keberkatan dalam hidup. Ilmu adalah sesuatu yang suci. Bagaimanakah sesuatu
yang suci akan berada di hati yang kotor?. Antara perkara yang yang perlu dijauhi
ialah ‘couple’. Tetapi malangnya begitu ramai pelajar yang terlibat dengannya.
Budaya tidak sihat ini amat membimbangkan dan berleluasa di semua peringkat
pendidikan. Sehingga mereka ada pasangan dikira normal dan tiada pasangan
dianggap pelik. Jangan cuba berjinak-jinak dengan perkara yang dilarang oleh
agama ini. Setiap larangan mempunyai beribu hikmah di sebaliknya.
Jadi, Ini adalah antara cara bagaimana kita
boleh mendapat keberkatan. Sebenarnya banyak lagi tetapi ini adalah antara yang
sangat perlu ditekankan. Saya kira bagi sahabat sahabat yang sentiasa
mendambakan redha Allah tiada masalah untuk melaksanakan perkara perkara yang telah disebutkan tadi. berkenaan dengan cara terpulang kepada kita bagaimana asalkan ianya tidak melanggar syariat yang telah ditentukan oleh Allah..wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment